Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah, 30)
Ayat ini menyatakan Allah mencipta manusia dan meletakkan-nya di bumi untuk dijadikan khalifah di bumi. Ertinya inilah tujuan penciptaan manusia.
Sebelum ayat 30 ini dua kali Allah menyebut tentang tiga golongan manusia. Pertama kalinya disebut dalam ayat 7 al-Fatihah dan kali keduanya disebut dalam ayat 2-10 al-Baqarah.
Surah al-Fatihah
Sebelum ayat 7 al-Fatihah, Allah menyatakan Segala puji bagi Allah Tuhan Pentadbir alam (ayat 2), ertinya alam ini Dia yang mencipta, Dia yang mentadbirnya; dan apabila ayat 3 menyebut Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menunjukkan atas sifat pengasih-Nya Allah menyediakan alam ini buat sekalian manusia. Namun atas sifat penyayang-Nya itu Allah berikan buat manusia yang beriman. Kerana situasi inilah maka ayat-ayat itu diikuti pula dengan ayat 4 Maaliki-yaumiddin, yang ertinya yang menguasai hari Akhirat. Bermaksud Allah menyediakan hari akhirat sebagai tanda keadilan-Nya, yang baik di balas syurga, yang jahat dibalas neraka.
Bagi mereka yang berbuat baik selama berada di dunia merasa amat bersyukur kerana kebaikan mereka tidak sia-sia, tetapi mendapat perhatian Allah dengan balasan syurga. Atas kesemua inilah maka manusia menyatakan Engkau-lah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah (ayat 5). Ayat ini merupakan suatu pengakuan dan ikrar untuk mengabdikan diri hanya untuk Allah.
Dan bagi mencapai pengabdian yang total lantas manusia manusia memohon Tunjukkan kami jalan yang lurus (ayat 6). Lalu Allah menyebut Ikutilah jalan mereka yang dijanjikan nikmat (syurga), bukan jalan mereka yang dimurkai, dan bukan jalan mereka yang sesat.
Dengan kata lain, pengabdian itu membawa maksud tidak akan sekali-kali bersama dengan golongan mereka yang dimurkai, dan mereka yang sesat.
Sesiapa yang benar-benar memahami surah ini sepatutnya tahu bahawa surah al-Fatihah membayangkan Islam bukan hanya ibadah ritual, tetapi sebagai agama cara hidup. Jalan yang lurus ialah jalan hidup yang coraknya berlandaskan kepada idea ketuhanan mengikut ayat 1-4, dan pengakuan dalam ayat 5, bukan jalan yang dimurkai atau jalan orang yang sesat.
Ayat 2-29 al-Baqarah: Menjadikan Khalifah
Tiga golongan itu tadi sekali lagi disebut oleh ayat 2-10 al-Baqarah.
Ayat 1 al-Baqarah menyebut Alif-laam-miim. Sesetengah ahli pentafsir menyatakan alif itu Allah, lam itu Jibril, dan mim itu Muhammad, manakala sesetengahnya pula menyebut kalimah ini hanya Tuhan sahaja yang tahu erti dan maksudnya. Saya tidak bercadang membincangkannya di sini.
Ayat 2 al-Baqarah menyebut tentang orang bertakwa. Ayat ini menyebut Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. Ciri-ciri orang bertakwa disebut oleh ayat 3-5.
Ayat 6 al-Baqarah menyebut tentang orang kafir. Ayat itu menyebut Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. Lalu Allah menyatakan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar (ayat 7).
Ayat 8-10 al-Baqarah adalah tentang golongan munafik. Ayat 10 menyebut Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengaki). Ciri-cirinya disebut oleh ayat 8-10.
Kesimpulannya, surah al-Baqarah juga dimulakan dengan menyatakan tentang tiga golongan manusia. Apakah rahsianya? Atau apakah mesejnya?
Jika kita lihat seterusnya, bermula dengan ayat 11 al-Baqarah adalah menyatakan lebih lanjut tentang golongan munafik. Antaranya, disebut mereka adalah yang membuat bencana dan kerosakan di muka bumi (ayat 12), apabila diseru supaya beriman mereka menolak (ayat 13).
Lalu Allah menyeru Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang terdahulu supaya kamu kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa (al-Baqarah, 21). Seruan ini sejajar dengan ayat 2 al-Baqarah yang menyebut petunjuk kepada mereka yang (hendak) bertakwa.
Jadi ayat 21 al-Baqarah ini bermaksud menyeru manusia agar tidak tersilap memilih jalan: pilihlah jalan mereka yang bertakwa, buka jalan mereka yang kafir dan munafik itu.
Namun setibanya di ayat 30 al-Baqarah Allah menyatakan Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mengapa disebut khalifah? Mengapa tidak orang bertakwa.
No comments:
Post a Comment