Secara tidak langsung ayat 7 ini menyatakan tiga golongan manusia, iaitu mereka yang dijanjikan nikmat (syurga), mereka yang dimurkai, dan mereka yang sesat.
Golongan yang dijanjikan Nikmat
Kita biasa mendengar berita bahawa orang-orang terdahulu daripada kita, Allah mengurniakan nikmat-Nya (syurga). Ketika itu telah ada nabi-nabi, dan rasul-rasul yang diutus oleh Allah, dan telah ada juga para syuhada’, juga orang-orang yang soleh, kerana itu kita memohon agar Allah mengurniakan jalan itu.
Inilah golongan yang Allah sebut dalam surah an-Nisa’ ayat 69, mereka ialah para nabi, orang-orang benar (siddiqin), para syuhada, dan orang-orang soleh. Mereka bukan sekadar beriman, tetapi mereka tegas berpegang kepada pendirian hidupnya. Mereka berjalan atas jalan kebenaran dengan ilmu, dengan amal, dan dengan istiqamah.
Golongan yang Dimurkai
Mereka ialah orang-orang yang diberi petunjuk, diutus kepadanya rasul-rasul, telah diturunkan kitab-kitab wahyu, tetapi masih menuruti nafsunya. Telah ditegur dan diperingat berkali-kali namun tidak dipedulikannya. Seolah-olah mereka merasa lebih pintar dari Allah, Rasul-rasul dicemuh, petunjuk Allah diketepikannya, petunjuk syaitan yang diikutinya.
Golongan ini ada ilmu, mereka tahu kebenaran, tetapi mereka menolaknya, membelakangkannya, malah memanipulasinya.
Mereka tahu hukum-hakam, jalan yang benar, tetapi sengaja berpaling. Itulah sebabnya mereka dimurkai. Mereka seakan-akan memerangi kebenaran yang diketahuinya.
Golongan yang Sesat
Golongan yang sesat ialah orang-orang yang membuat jalan-nya sendiri yang di luar garisan jalan Allah. Jalannya tidak mengikuti jalan kebenaran, tidak mengikuti maksud kebenaran yang sebenarnya. Mereka mengakui adanya Allah, namun mereka lebih cenderung mengikuti jalannya yang sesat. Sejarah mencatatkan, di Eropah pernah timbul satu gerakan bernama Deisme, di mana melalui penyelidikan akal mereka, mereka mengatakan Allah memang ada, namun mereka tidak mahu menerima idea kerasulan, atau wahyu, atau hari akhirat. Lalu mereka mengatakan, dengan percaya kepada Allah sahaja sudah mencukupi, tidak memerlukan agama.
Golongan Yahudi dan Nasrani
Diriwayatkan, satu hari seseorang bertanya kepada Nabi saw tentang siapakah orang yang sesat itu? Nabi saw menjawab Yang dimaksudkan orang-orang yang dimurkai ialah Yahudi, dan yang dimaksudkan orang-orang yang sesat ialah Nasrani.
Tetapi dalam kitab-kitab tafsir mengingatkan, yang wajib kita tekankan bukanlah Yahudi atau Nasrani itu, tetapi tentang ciri-ciri mereka.
Yahudi dimurkai kerana mereka selalu mengingkari segala petunjuk yang dibawa oleh rasul mereka, Nasrani tersesat kerana terlalu cinta kepada Nabi Isa al-Masehi lalu mengata-kan Isa adalah anak Tuhan. Tersesat.
Mereka ini dilihat sangat baik, ikhlas, ada semangat, tetapi sikap mereka tidak berdasarkan ilmu yang benar. Maka mereka tersesat di jalan yang mereka sangka benar. Mereka beribadah, tetapi tidak mengikut petunjuknya. Mereka mahu kebaikan, tetapi tanpa asas. Maka mereka pun tergelincir, tanpa sedar. Tidak terkecuali golongan muslim tujuan ibadahnya tidak jelas.
Maka dari tiga golongan yang disebut oleh ayat akhir surah al-Fatihah itu Allah hanya meredai golongan mereka yang telah dijanjikan nikmat (syurga).
Apabila manusia memohon tunjukkan jalan yang lurus itu menunjukkan inilah mereka yang telah membuat keputusan memilih jalan mereka yang dijanjikan nikmat (syurga) itu, iaitu golongan yang memahami dan meyakini pengertian ayat-ayat sebelumnya iaitu ayat 1-5 al-Fatihah.
Rumusan
Sesiapa yang benar-benar memahami surah ini sepatutnya tahu bahawa surah al-Fatihah membayangkan Islam bukan hanya ibadah ritual, tetapi sebagai agama cara hidup. Jalan yang lurus ialah jalan hidup yang coraknya berlandaskan kepada idea ketuhanan mengikut ayat 1-4, dan pengakuan dalam ayat 5, bukan jalan yang dimurkai atau jalan orang yang sesat.
No comments:
Post a Comment