Misi dan Visi

Jika ayat 21 al-Baqarah itu bermaksud menyeru manusia supaya tidak tersilap memilih jalan: pilihlah jalan mereka yang bertakwa, bukan jalan mereka yang kafir dan munafik. Namun, setibanya  pada ayat 30 al-Baqarah Allah menyatakan Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mengapa disebut khalifah? Mengapa tidak orang bertakwa?

Mari kita lihat ciri-ciri orang bertakwa.

Ciri-ciri orang bertakwa, yang disebut di awal-awal musyaf (al-Quran) iaitu ayat 2-5 ialah:

i. Orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (ayat 3)

ii. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya) (ayat 4).

Jika kita amat-amati ciri-ciri orang bertakwa tersebut di atas menunjukkan ciri-cirinya lebih menekankan kepada keperibadian dirinya, seperti menjaga keselamatan dirinya dari murka Allah, menjaga kepentingan dirinya dari dosa, kecuali aspek membelanja-kan sebahagian dari rezeki itu.

Ertinya, ketakwaan sahaja tidak menjamin manusia menjadi sebaik-baik manusia kerana misi dan visinya tidak menyeluruh mencakupi aspek-aspek kehidupan manusia dan alam ini. Membelanjakan sebahagian dari rezeki itu hanya satu daripadanya, ertinya ada lagi tanggungjawab lain yang tidak termasuk ke dalam misi dan visinya.

Berbanding dengan golongan khalifah itu: mereka ini bukan sekadar bertakwa, tetapi lebih dari itu, lebih baik dari orang bertakwa. Mereka inilah yang dijanjikan nikmat (syurga).

Ayat-ayat yang menyebut khalifah menunjukkan tugas dan peranan khalifah ialah berkait dengan menjaga orang lain, menjaga alam, mengurus bumi dan sebagainya. Ertinya misi dan visinya menyeluruh, tentang bertakwa, menjaga hubungan dengan Allah, hubungan manusia lain, malah menjaga bumi juga.

Ayat 165 al-Anam menyebut Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Ayat ini menyatakan tentang asal kejadian manusia bahawa setiap manusia dikurniai dengan ketinggian darjat yang beberapa sahaja, dengan kata lain manusia adalah makhluk yang banyak kekurangan. Dengan asal kejadian ini manusia harus bergantung hidup antara satu sama lain bagi mendapatkan kehidupan yang sempurna. Ertinya sebagai khalifah antara tanggungjawabnya ialah membantu mereka yang kekurangan. Pendek kata seorang khalifah harus mempunyai sikap kepedulian kepada orang lain.

Ayat 74 al-Araf juga menyebut khalifah. Di hujung ayat ini menyebut Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan jangan-lah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Ayat ini memperlihatkan tanggungjawab seorang khalifah, berkait dengan alam ini.

Dua ayat ini memperlihatkan tanggungjawab seseorang khalifah lebih menyeluruh meliputi aspek menjaga manusia lain dan alam sekitar. Ertinya, menjadi khalifah adalah lebih baik dari orang bertakwa. Apabila dikaitkan dengan nikmat (syurga) ertinya seseorang khalifah adalah golongan sebaik-baik manusia.

Walaupun orang-orang bertakwa disebut golongan mereka yang berjaya, tidak berlebihan jika dikatakan mereka berjaya masuk syurga setelah menjalani balasan di neraka bagi menebus dosa-dosanya kerana meninggalkan tanggungjawab ke atas alam ini, dan ke atas manusia lain. Berbanding dengan golongan munafik dan kafir itu yang akan kekal di neraka.

Kerana inilah Allah menyeru manusia supaya menjadi khalifah di bumi, kerana misi dan visinya menyeluruh, meliputi ketakwaan dan memberi faedah kepada orang lain seperti yang disebut oleh ayat 165 al-Anam dan ayat 74 al-Araf itu.

No comments:

Post a Comment

Antara Dua Darjat

Dalam al-Quran, Allah memuji orang yang bertakwa  dan menjanji - kan mereka ganjaran yang besar di dunia dan akhirat. Pada masa yang sama, A...